d

Wednesday, December 6, 2017

Kajian Bahasa Slanga dalam Novel Murtad karya Hasrul Rizwan



     Pendahuluan
    Kajian ini dilakukan untuk mengkaji jenis variasi bahasa iaitu bahasa slanga. Kajian ini akan memfokuskan penggunaan bahasa slanga yang terdapat dalam novel Murtad karya Hasrul Rizwan dan definisi konsep-konsep penting yang digunakan dalam kajian ini.

Latar Belakang Kajian
     Dalam kajian-kajian lepas, terdapat beberapa pengkaji tempatan dari pelbagai latar belakang yang telah mengkaji bahasa slanga. Bahasa slanga telah banyak dikaji dalam negara.
     Antara kajian yang telah dilakukan mengenai bahasa slanga, ialah oleh Prof. Dr Nik Safiah Karim. Beliau telah mengkaji bahasa slanga yang digunakan di kalangan mahasiswa Universiti Malaya dan sebab bahasa ini wujud. Beliau menyatakan bahawa sebab utama bahasa slanga ini timbul kerana keinginan gologan mahasiswa untuk menimbulkan ciri-ciri khusus bagi mereka yang mengasingkan diri mereka dari pelajar-pelajar jenis lain. Dengan kata lain tujuan utama, ialah untuk menimbulkan perasan dan ciri group identity. Sebab kedua pula adalah kerana keadaan mahasiswa itu sendiri yang mudah menjadi mangsa tekanan emosi dan sebab yang terakhir, disebabkan keinginan mereka untuk meringkaskan perkataan dan rangkai kata yang digunakan hari-hari. 
     Selain itu, kajian oleh penuntut universiti awam, iaitu Nur Aznina Binti Mohd Salleh yang bertajuk Slanga dalam Kalangan Mat Rempit di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Pengkaji mendapati bahawa bahasa slanga yang dipertuturkan dalam kajian tersebut merupakan istilah slanga baru kerana makna sebenarnya masih belum diterokai sepenuhnya mahupun dibukukan dalam mana-mana kamus.
    Kajian tentang bahasa slanga juga telah dikaji oleh pelajar yang menduduki Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) dalam pembuatan kerja kursus mereka. Hal ini kerana variasi bahasa terdapat dalam skop pendidikan pelajar STPM. Antaranya, ialah Nur Haslinda Mohd Nazambri yang telah membuat kajian yang bertajuk Slanga dalam Filem Tempatan bagi kerja kursus Pentaksiran Berdasarkan Sekolah (PBS) untuk subjek bahasa Melayu. Kajian ini menumpukan kepada penggunaan bahasa slanga yang dipertuturkan dalam indusri perfileman tempatan dan maksud bahasa slanga dalam bahasa Melayu baku. Seterusnya, Mohd Izzat Haziq mengkaji penggunaan bahasa slanga dalam novel remaja Cinta Tiga Suku. Kajian tersebut mengenai perkataan atau istilah slanga yang wujud dalam novel remaja yang dikajinya. Dalam kajiannya juga disebut bahawa penggunaan bahasa slanga memberi impak negatif kepada martabat bahasa Melayu dan generasi yang bakal muncul.

Objektif Kajian
     Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti penggunaan kata slanga dalam novel Murtad karya Hasrul Rizwan. Selain itu, menganalisis bentuk dan makna kata slanga dalam novel Murtad karya Hasrul Rizwan.

Bidang Kajian
     Bahasa slanga merupakan pecahan daripada variasi bahasa yang termasuk dalam bidang sosiolinguistik. Aspek yang menjadi fokus dalam kajian ini ialah bahasa slanga yang terdapat dalam novel Murtad karya Hasrul Rizwan. Kajian ini tertumpu kepada kata slanga dan definisi perkataan slanga serta bentuk slanga yang wujud di dalam novel tersebut

Bahan Kajian
     Kajian ini dijalankan dengan melakukan penilitian dan pembacaan terhadap sebuah novel terkini yang yang dikarang Hasrul Rizwan. Tajuk novel tersebut ialah Murtad yang merupakan buku pertama dari trilogi murtad karya Hasrul Rizwan. Buku ini menceritakan tentang kehidupan dua adik-beradik yang mencari pekerjaan di ibu kota dan ditawarkan pekerjaan membunuh golongan murtad. Namun, kajian ini akan memfokuskan terhadap variasi bahasa iaitu bahasa slanga yang diutarakan dalam novel ini. Buku ini diterbitkan oleh Buku Fixi, (002016254-V), B-8-2A Opal Damansara, Jalan PJU 3/27 47810 Petaling Jaya, Malaysia. Buku ini diterbitkan pada tahun 2002, cetakan pertama dengan gambar kulit depan baru pada Mei 2015 dan mempunyai 323 muka surat. Buku ini dicetak oleh Vinlin Press Sdn Bhd, 2 Jalan Meranti Permai 1, Meranti Permai Industrial Park Batu 15, Jalan Puchong, 47100 Puchong, Malaysia.

Kaedah Kajian
     Dalam kajian ini, pengkaji telah menganalisis perkataan-perkataan slanga yang terdapat dalam novel Murtad karya Hasrul Rizwan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif. Bagi metod kualitatif, pengkaji telah menggunakan analisis dokumen iaitu analisis kandungan novel tersebut. Analisis teks telah dilakukan dari segi kata slanga untuk mengetahui makna perkataan slanga yang terdapat dalam novel tersebut dari bab 1- 38.

Konsep
     Bahasa slanga merupakan bahasa yang dituturkan oleh sekumpulan penutur tertentu sahaja dan tidak difahami oleh kelompok lain, contohnya, bahasa yang digunakan oleh kelompok remaja. Bahasa slanga turut dikenali sebagai bahasa kutu atau bahasa rocker dalam kalangan remaja. Bahasa ini bertaraf rendah daripada bahasa standart dan mengambarkan peringkat IQ yang cetek. Penggunaan bahasa ini telah menjadi biasa dan sering dituturkan di mana-mana sahaja. Bahasa slanga ini bersifat tidak kekal kerana kosa kata yang digunakan mungkin akan pupus setelah digunakan dalam tempoh tertentu. Dengan kata lain, bahasa slanga merupakan kata-kata, ungkapan, dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku Melayu dan sering digunakan dalam percakapan tidak rasmi.

      Analisis
    Pelbagai kata slanga yang terdapat dalam novel Murtad karya Hasrul Rizwan (Jadual 1). Kata slanga hanya dituturkan melalui dialog yang disebut oleh wata-watak dalam novel tersebut.
     
Kata Slanga
Halaman
bro
26, 189, 300
lu
26, 44, 45, 89, 128, 218, 255
gua
26, 44, 45, 89, 128
blah
26, 28
mamat
125
brader
50, 137, 170
lauk
97
monyet
96
serender
203
sapu
217
yup
241
gebang
229
awek
300
retis
142
kutu
26
Jadual 1: Kata slanga yang terdapat dalam novel Murtad karya Hasrul Rizwan
 Jadual di bawah menunjukkan makna slanga dan makna sebenar slanga novel Murtad karya Hasrul Rizwan.
Kata Slanga
Makna Slanga berdasarkan novel Murtad karya Hasrul Rizwan
bro
Singkatan kepada perkataan brother iaitu sapaan untuk kawan-kawan lelaki
lu
Panggilan dalam bahasa Cina yang bermaksud kau
gua
Perkaataan daripada bahasa Cina yang bermaksud saya
blah
Pergi atau menghalau seseorang
mamat
Perkaataan yang merujuk kepada lelaki
brader
Perkataan brother yang diubah ejaan atau cara sebutan yang digunakan untuk sapaan kawan lelaki
lauk
Mangsa
monyet
Si bodoh

serender
Surrender yang diubah ejaan yang membawa maksud menyerah diri
sapu
Belasah
yup
Perkatann daripada bahasa Inggeris yang membawa maksud Ya
gebang
Menipu
awek
Perempuan
retis
Perkataan artis yang diubah ejaan dan sebutan
kutu
Orang jalanan yang menggangu orang lain
Jadual 2 : Kata slanga dan makna slanga dalam novel Murtad karya Hasrul Rizwan

Hasil kajian juga mendapati bahawa terdapat tiga bentuk perkataan slanga yang digunakan oleh penulis dalam novel Murtad, iaitu kata slanga yang merujuk kata ganti nama diri dan kata slanga yang dimanipulasikan daripada bahasa asing serta bahasa slanga yang mempunyai makna konotatif tersendiri.


Kata Slanga Merujuk Kata Ganti Nama Diri Orang
Berdasarkan jadual 3, bahasa slanga yang merujuk kata ganti nama dalam novel Murtad selalu dipakai oleh sesetengah kelompok terutamanya golongan remaja pada hari ini. Contohnya, gua, bro dan lu


Kata Slanga
Makna
Gua
Saya;aku
Bro
Awak;kamu;abang
Lu
Awak;kau
Jadual 3 : Kata slanga merujuk kata ganti nama diri orang

Kata Slanga Daripada Bahasa Asing
Berdasarkan jadual 4, kebanyakan bahasa slanga dalam novel Murtad, merupakan bahasa slanga yang dipinjam daripada bahasa Cina dan Inggeris, Terdapat juga pengubahan ejaan dilakukan ke atas kata slanga tersebut. Contohnya, brader, yup, serender, retis. lu, gua, dan bro.

Kata Slanga
Ejaan sebenar
Asal Perkataan
brader
brother
Bahasa Inggeris
yup
yes
Bahasa Inggeris
serender
surrender
Bahasa Inggeris
retis
artist
Bahasa Inggeris
lu
_
Bahasa Cina
gua
_
Bahasa Cina
bro
brother
Bahasa Inggeris
Jadual 4 : Kata slanga daripada bahasa asing 
  
Kata Slanga (Konotatif)
Berdasarkan jadual 5, terdapat kata slanga yang mana kosa katanya hanya diketahui oleh kelompok tertentu sahaja. Perkataan-perkataan slanga ini membawa makna tersirat yang hanya boleh diketahui oleh satu kumpulan yang mengutarakannya. Misalnya, lauk, blah, monyet, gebang, sapu, kutu dan awek.

Kata Slanga
Makna Slanga
lauk
mangsa
blah
pergi;berambus
monyet
si bodoh
gebang
menipu
sapu
belasah
kutu
orang jalanan yang menggangu orang lain
awek
perempuan
Jadual 5: Kata slanga dari aspek konotatif

Tafsiran
     Kata slanga yang digunakan oleh penulis banyak menggunakan pinjaman dari bahasa asing Cina kerana novel ini menceritakan tentang kehidupan samseng jalanan dan kongsi gelap. Bagi menggambarkan kewujudan unsur ganas, penulis menggunakan kata slanga yang sering digunakan dalam percakapan samseng, misalnya, kata gua dan lu yang digunakan oleh samseng untuk menggambarkan diri itu kasar agar digeruni orang lain. Kebanyakan remaja, khususnya hari ini, meniru dan menggunakan kata slanga ini untuk menunjukkan diri mereka hebat apabila bercakap dengan rakan-rakan.

Penutup
     Berdasarkan novel Murtad karya Hasrul Rizwan, pengkaji mendapati bahawa penulis menggunakan bahasa slanga yang kerap digunakan oleh golongan gangster atau slanga rock. Hasil kajian juga menunjukkan tiga bentuk kata slanga yang digunakan dalam novel ini, iaitu kata slanga merujuk kata ganti nama diri, kata slanga daripada bahasa asing seperti Inggeris dan Cina serta kata slanga yang mana maksud konotatifnya hanya diketahui oleh kelompok yang menuturkannya sahaja.



Bibliografi
Ahmad Khair Mohd Nor et.al, (2014). Tatabahasa Asas Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Pustaka      Salam Sdn Bhd.
Aznina Ain Shazwarina. (2015). Aplikasi Komputer Dalam Kajian Linguistik. Diakses pada          1 November 2016, daripada         
Hasrul Rizwan, (2012). Murtad. Petaling Jaya: Buku Fixi.
Nur Haslinda Mohd Nazamri. (2013). Kajian Bahasa Slanga dalam Filem (sem 3 -2013).   Diakses pada 1 November 2016, daripada