d

Thursday, January 25, 2018

Laras Bahasa Resepi



            Pendahuluan
Laras bahasa didefinisikan sebagai ciri khusus dalam penggunaan bahasa mengikut bidang-bidang tertentu. Laras akan sentiasa berubah-ubah berdasarkan fungsi dan keadaan. Setiap laras menitikberatkan pilihan kata atau istilah dan menggunakan struktur ayat yang berlainan mengikut disiplin atau bidang tertentu. Seseorang penutur itu akan mengubah larasnya bergantung pada keadaan ataupun situasi sesuatu peristiwa bahasa itu berlangsung. Ketika seseorang itu bercakap dengan orang lain, tajuk atau perkara yang diperkatakan, suasana perbualan itu berlangsung sama ada secara formal atau tidak formal dan penggunaan medium secara lisan ataupun tulisan dititikberatkan. Berdasarkan perkara-perkara inilah beberapa orang pengkaji telah mengemukakan pandangan mereka tentang laras.

Nik Safiah Karim (1982:1) misalnya menyatakan laras seperti yang berikut:
                        Laras atau register bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi bahasa yang dipilih daripada sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Jumlah laras wujud dalam sesuatu masyarakat kerana kemunculan laras bahasa selari dengan kewujudan situasi-situasi penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa berubah mengikut konteks, bidang dan peringkat sosial.

Beliau mengaitkan laras dengan pemilihan bahasa berdasarkan konteks, bidangyang diperkatakan dan juga peringkat sosial. Menurut beliau lagi, laras sesuatu bahasa yang digunakan itu adalah selari dengan kewujudan situasi-situasi penggunaan bahasa.  

Menurut Asmah Hj.Omar (1984:92) pula, laras bahasa adalah kelainan bahasa yang digunakan mengikut bidang, seperti bidang ilmu dan bidang sosial. Menurut beliau lagi, bahasa yang digunakan dalam bidang keilmuan tertentu memperlihatkan beberapa perbezaan daripada bahasa yang digunakan dalam ilmu yang lain. Perbezaan yang wujud bukanlah perbezaan sistem bahasa tetapi kesukaran wujud dalam pemahaman konsep-konsep yang didukung oleh istilah-istilah tertentu atau khusus yang digunakan dalam ilmu berkenaan. Beliau menekankan bahawa laras yang berlainan yang digunakan bukannya pada sistem bahasa tetapi hanya pada kata-kata tertentu yang digunakan dalam laras.

Menurut Rajiee Hadi (1994), laras bahasa adalah satu wahana yang membuktikan kemampuan sesuatu bahasa untuk mengungkapkan makna dan maksud dalam pelbagai bidang. Laras bahasa menentukan makna leksikal sesuatu kata dan pengertian mengkhusus kepada bidang tertentu, iaitu merangkumi pemilihan diksi, istilah, frasa dan ayat yang digunakan.

Selain itu, Za’ba (1962), mengatakan bahawa laras ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunannya atau bentuk peribahasanya. 

Di kalangan pengkaji-pengkaji barat, banyak sekali konsep dan definisi yang dikemukakan oleh mereka tentang laras. Ure dan Ellis (1977) telah mengemukakan pendapat mereka terhadap bidang laras, iaitu sebagai “corak bahasa yang biasanya digunakan dalam situasi yang berbeza”. Dalam pada itu, penggunaan laras dalam sesebuah kelompok manusia telah menunjukkan bahawa manusia menyedari situasi dan peraturan sosial dalam kelompok mereka sendiri. Melalui laras, pengguna bahasa dapat menggunakan corak kelakuan sosial untuk mengawal situasi sosial dan komuniti mereka sendiri. 

Halliday (1968) mengatakan laras seperti yang berikut:
Language varies as its functions varies, it differ is different situation. The name given to the varietry of language distinguished according to its use is register.

Beliau telah mengemukakan hujah beliau berkenaan bahasa, iaitu hubungan antara bahasa dan fungsi bahasa. Beliau juga mengaitkan bahasa itu berfungsi sosial dan melalui kaedah inilah, kesan terhadap pembetukan tatabahasa secara sistematik dalam sesebuah bahasa itu wujud.

Seorang lagi pengkaji barat yang menyentuh tentang laras, ialah Brian Seaton (1982) yang menyatakan bahawa laras ialah satu variasi bahasa yang wujud daripada situasi yang berlainan seperti umur, jantina dan tajuk percakapan.

Ciri-ciri khusus yang dapat membezakan antara sesuatu laras bahasa ialah dengan adanya penggunaan istilah yang berbeza mengikut bidang masing-masing. Jenis dan struktur ayat yang mudah atau kompleks, pendek atau panjang, ayat aktif atau ayat pasif, bergantung kepada jenis bidang ilmu yang tertentu.

Terdapat banyak laras dalam bahasa Melayu. Antaranya laras bahasa sains, sukan, undang-undang, ekonomi, perniagaan, iklan, sastera, agama dan lain-lain lagi. Namun, kajian ini hanya memberi tumpuan kepada bahasa yang digunakan dalam laras resepi. 

Laras resepi atau laras masakan merupakan salah satu daripada laras moden yang terdapat kini tetapi ramai tidak menyedari hakikat kehadiran laras ini dalam masyarakat. Laras resepi dari segi sejarahnya telah wujud sejak zaman lampau tetapi tidak dikodifikasikan atau ditulis tetapi hanya disampaikan daripada seorang tukang masak kepada orang lain. Dalam sesebuah keluarga, ibu akan mewariskan cara-cara memasak sesuatu jenis resepi kepada anak-anak dan anak-anak pula mewarisinya dan seterusnya mengajarnya pula kepada generasai yang lain. Secara tidak langsung laras resepi berkembang dan dalam zaman moden ini pelbagai resepi moden telah mempengaruhi masyarakat untuk menyediakannya demi keperluan keluarga ataupun untuk tujuan komersial.

Kelahiran laras resepi pada zaman moden ini bukan sekadar untuk keperluan keluarga seperti zaman tradisional tetapi terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhinya, seperti resepi untuk tujuan perniagaan, seperti di hotel-hotel dan warung-warung serta untuk tujuan-tujuan lain. Ini telah menyebabkan berlaku pelbagai perubahan pada cara memasak sesuatu jenis resepi, alat-alat yang digunakan untuk memasak, sukatan ataupun timbangan terhadap bahan-bahan memasak dan juga bahan-bahan yang digunakan untuk memasak makanan.

Laras resepi menyampaikan maklumat tentang cara menyediakan sesuatu masakan. Laras ini menggunakan kosa kata yang mudah difahami dan menggunakan ayat yang ringkas. Laras ini juga tidak mementingkan ketepatan struktur ayat. Laras resepi banyak menggunakan ayat perintah dan penggunaan istilah teknikal tidak digunakan kerana laras ini ditujukan kepada semua orang dan tidak bersifat ilmiah. Kandungannya terbahagi kepada dua aspek, iaitu bahan dan sukatan yang diperlukan untuk menyediakan sesuatu makanan dan cara menyediakan sesuatu makanan. Di samping itu, jenis kata yang sering digunakan dalam laras ini ialah kata nama dan kata kerja.

 Analisis Data Resepi 
 Dalam bahagian ini akan diberikan contoh data untuk dibuat analisis tentang laras resepi seperti di bawah ini.

     MI KARI NYONYA
     Bahan A (Bahan Utama)
3 sudu makan minyak masak 
1 batang serai (diketuk) 
4 biji bawang merah (dihiris)
3 ulas bawang putih (dihiris)
2 sudu makan serbuk kari ayam 
2 sudu makan cili kisar 
500 g isi ayam (dipotong kecil) 
2 cawan santan                  
1 cawan air 
1 paket bebola ikan 
2 keping tauhu goreng (dipotong kecil) 
10 tangkai daun kesum 
1 kuntum bunga kantan (dibelah 4) 
Garam secukup rasa 
500 g mi kuning (dicelur dan tuskan)

      Bahan B (Bahan Hiasan)
1 cawan tauge (dibuang akar) 
2 biji telur rebus 
Bawang goreng secukupnya 
Daun sup dan daun bawang secukupnya (dihiris)

      Cara menyediakan dan memasak:
  1. Panaskan minyak masak. Tumis serai dan hirisan bawang sehingga layu.
  2. Masukkan serbuk kari ayam dan cili kisar. Kacau rata sehingga pecah minyak. 
  3. Masukkan ayam dan kacau sehingga sebati. 
  4. Masukkan santan dan air. Masak sehingga mendidih. 
  5. Masukkan bebola ikan, tauhu goreng, daun kesum, bunga kantan, dan garam. 
  6. Masukkan mi kuning, bahan hiasan, dan kuah ke dalam mangkuk. Hidangkan.

Berdasarkan teks ini akan dibincangkan analisis data berdasarkan teori Ure dan Ellis dari aspek kosa kata atau leksikal. Dalam aspek kosa kata, perkara utama yang diberikan tumpuan ialah penggunaan kata dalam sesuatu laras, sama ada laras yang diperkatakan itu banyak menggunakan istilah khusus atau istilah umum ataupun tidak ada penggunaan istilah langsung. Istilah umum adalah suatu kata yang sudah menjadi unsur bahasa umum manakala istilah khusus adalah suatu kata yang penggunaan serta maknanya terbatas hanya untuk bidang tertentu. Sekiranya sesuatu laras itu banyak menggunakan istilah, akan wujud istilah-istilah yang berlainan berdasarkan bidang yang diperkatakan oleh laras tersebut. Di samping itu, terdapat juga sesetengah laras yang menggunakan kata-kata pinjaman asing atau sebagainya. Pendek kata, dalam aspek kosa kata segala aspek yang berkaitan dengan kata akan dibincangkan untuk membuktikan bahawa sesuatu laras itu menggunakan kata-kata tertentu yang berbeza daripada laras yang lain.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013), kosa kata ialah keseluruhan kata dalam sesuatu bahasa atau perbendaharaan kata. Menurut Kridalaksana (1982) kosa kata atau leksikon, adalah komponen bahasa yang memuat semua informasi tentang makna dan pemakaian kata dalam bahasa. Beliau juga berkata bahawa kosa kata adalah kekayaan kata yang dimiliki seorang pembicara, penulis suatu bahasa dan daftar kata yang disusun seperti kamus, tetapi dengan penjelasan yang singkat dan praktis. Dapat disimpulkan bahawa kosa kata adalah semua kata yang terdapat dalam bahasa. Selain itu, kosa kata merupakan semua kata-kata yang dimiliki oleh seseorang yang memuat semua informasi tentang makna dan pemakaian kata dalam berbahasa.
Terdapat beberapa kata khusus yang digunakan dalam laras ini sebagai penanda laras resepi. Antara kata tersebut ialah:

Bil.
Kata
1.
sudu makan
2.
diketuk
3.
dihiris
4.
dicelur
5.
tus
6.
tumis
7.
kacau rata
8.
pecah minyak
9.
sebati
10.
mendidih
Jadual 1: Kata-kata dalam laras resepi Mi Kari Nyonya

Sudu makan dalam laras resepi Mi Kari Nyonya merupakan sukatan yang digunakan untuk mengukur bahan dalam masakan. Sesetengah orang memanggil camca bagi menggantikan sudu makan. Orang ramai lebih menggemari ukuran sudu dan cawan berbanding ukuran metric (gram/ml) kerana lebih mudah untuk digunakan ketika memasak. Kata diketuk menunjukkan perbuatan mengetuk sesuatu. Dalam laras masakan, sesuatu yang diketuk merupakan benda atau bahan yang digunakan untuk tujuan masakan sahaja sebagai contoh serai. Sesetengah orang tidak menggunakan kata ketuk serai tetapi titik serai yang menunjukkan perbuatan yang sama, iaitu mengetuk sedikit serai dan memastikan serai tidak hancur. Dihiris merupakan perbuatan memotong nipis sesuatu bahan. Dicelur membawa maksud mencelupkan sesuatu ke dalam air panas supaya layu. Berdasarkan teks, mi kuning dicelur, iaitu dicelup ke dalam air panas untuk tempoh masa yang sekejap sahaja, iaitu sehingga mi kuning menjadi lembut. Mi kuning tidak boleh direndam lama kerana akan menjadi kembang dan tidak enak untuk dimakan. Oleh sebab itu, kata celur diwujudkan bagi memudahkan pembaca resepi memahami perbuatan yang harus dilakukan untuk memasak sesuatu bahan yang rumit seperti mi kuning, kuey teow dan kangkung. Tus merupakan perbuatan membiarkan air yang ada pada sesuatu yang dibasuh menitik keluar. Perbuatan ini dilakukan untuk mengeringkan bahan yang basah yang direndam atau dicelur sebelum itu. Perbuatan tumis pula merupakan perbuatan memasak bahan-bahan makanan yang kecil di atas api yang sederhana besar hingga api besar sehingga bertukar warna keperang-perangan di bahagian luarnya dan masak keseluruhannya. Bahan-bahan kecil seperti rempah-ratus, bawang atau sayur-sayuran yang dipotong kecil atau halus, daging, udang, sotong dan sebagainya yang dah dipotong ke saiz yang kecil. Kacau rata adalah mengaul sama banyak sesuatu bahan ketika memasak. Perbuatan kacau rata atau pukul rata dilakukan bagi memastikan semua bahan yang dikacau dalam kuali masak secukupnya. Pecah minyak pula ketika menumis, bahan perlu dimasak sehingga keluar minyak ataupun masak sehingga minyak terpercik. Masakan perlu dimasak sehingga pecah minyak supaya tidak bau tengik atau mudah basi disamping mengeluarkan aroma yang wangi dan menyelerakan disebabkan masak dengan cara yang betul. Sebati merupakan perbuatan mengaul sesuatu aduan atau bahan sehingga mampat dan padat. Sebati dalam konteks data yang digunakan membawa maksud mengaul serbuk kari ayam dan cili kisar dengan ayam sehingga lekat warna, bau dan rasa. Mendidih membawa maksud meruap kerana terlalu panas atau menggelegak.

Selain kata-kata tersebut, kebanyakan daripada kata kerja yang digunakan dalam laras ini telah mengalami peleburan imbuhan, misalnya:

                                               memanaskan  = panaskan
                                   menumis = tumis 
                                   mengacau =  kacau 
                                   memasak = masak

Kata-kata ini kebanyakannya merupakan kata kerja pasif yang digugurkan imbuhannya apabila menjadi ayat perintah. Hal ini kerana, terdapat pereka resepi menyelitkan beberapa petua dapur yang menjadi pengetahuan tambahan kepada pembaca. Ekoran daripada penjelasan mengenai laras ini, dari sudut sintaksis, laras ini banyak menggunakan ayat perintah, khususnya ayat suruhan.

         Dalam teks ini, kata-kata yang digunakan menggunakan istilah umum berbanding dengan laras bahasa lain yang banyak menggunakan istilah khusus seperti laras ekonomi dan laras sains. Hal ini kerana, laras ini bukan merupakan laras ilmiah. Oleh yang demikian, penggunaan istilah khusus tidak perlu tetapi kata-kata yang digunakan dapat difahami oleh semua orang. Ini berlaku kerana laras resepi adalah untuk semua orang tanpa mengira umur, taraf pendidikan, agama dan sebagainya



Rujukan 
Asmah Haji Omar, 1984. Bahasa Iklan Perniagaan: Satu Kajian Retorik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chef Hanieliza 1. 2017. MyResipi. Diakses pada 13 Oktober 2017, daripada          http://myresipi.com/recipes/mi-kari-nyonya
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2013. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Masnurul. 2014. Laras Bahasa. Diakses pada 20 Oktober 2017, daripada             http://studentskptmab101.blogspot.my/2014/08/laras-bahasa.html
Nik Safiah Karim. 1982. “Laras Bahasa Melayu: Beberapa Pandangan,” dlm. Jurnal Dewan          Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sakiminie. 2015.  Bahasa Melayu STPM P(3) Bab 4 Laras Bahasa. Diakses pada 12 Oktober         2017, daripada  https://www.slideshare.net/sakiminie/bahasa-melayu-bab-4-laras- bahasa-stpm
Ure, J. Dan Ellis, J. 1977, “Register in Descriptive and Linguistics Sociology,” dlm. O. Uribe – Villages (ed.) Issues in Sociolinguistics. Mouton.