1.0 PENGENALAN
Bahagian ini menjelaskan latar belakang kajian,
iaitu keterangan tentang jenis-jenis ayat dalam novel Daerah Zeni karya A.Samad
Said, dan definisi konsep-konsep penting yang digunakan dalam kajian ini.
1.1
Latar Belakang
Kajian ini berfokus terhadap jenis-jenis ayat yang
terdapat dalam bahasa Melayu. Selain ragam ayat, kita juga membezakan
pembentukan atau binaan ayat melalui jenis-jenisnya. Jenis-jenis ayat umumnya dapat
dibahagikan kepada empat, bergantung kepada lagu bahasa atau intonasi dan juga
tujuannya. Empat jenis ayat yang dimaksudkan ialah ayat penyata, ayat tanya, ayat
perintah, dan ayat seruan.
1.2
Definisi Konsep
Berdasarkan di bawah
merupakan kajian tentang jenis-jenis ayat yang dikaji.
1.2.1 Ayat
Menurut
Za’ba ayat bermaksud susunan
yang mempunyai hujung dan pangkal ayat yang boleh difahami oleh pembaca atau
pendengar kerana ia merupakan kumpulan perkataan yang telah sempurna maksud. Menurut
Abdullah Hassan dan Ainon Mohd dapat disimpulkan bahawa ayat tidak semestinya
terdiri dari ayat yang panjang tetapi ayat boleh terdiri dengan hanya dua patah
perkataan sahaja asalkan ia dapat difahami. Menurut Asmah Haji Omar pula
sebagaimana yang disebut dalam bukunya Nahu Bahasa Melayu Mutakhir,
ayat adalah unit yang paling tinggi dalam skala tatatingkat
nahu. Ayat terdiri dari klausa yang disertai dengan intonasi ayat yang lengkap,
yakni yang di mulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan dan
intonasinya menyatakan bahawa ayat itu sempurna dan selesai. Ayat menurut Nik
Safiah Karim (1993) pula ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya
dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.
1.2.1.1 Ayat Penyata
Ayat penyata ialah ayat yang mengandungi pernyataan
tentang sesuatu hal. Menurut
Nik Hassan Basri Nik Abd. Kadir dalam bukunya Komsas dan Tatabahasa Melayu, ayat penyata dikenali juga sebagai
ayat keterangan atau ayat berita. Ayat penyata merupakan ayat yang diucapkan
untuk membuat satu penyataan atau memberi penerangan dalam sesuatu hal; apabila
dalam ayat, ayat penyata kebiasaannya diberikan tanda noktah (.) manakala, menurut Nik
Safiah Karim (1993:47), ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud
membuat satu pernyataan.
1.2.1.2
Ayat Tanya
Menurut
Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), tanya membawa maksud permintaan keterangan. Menurut
Nik Safiah Karim (1986:47), ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan
sesuatu hal. Selain itu, pada setiap akhir ayat tanya ini akan diberi satu
tanda soal (?). Tanda soal yang digunakan di dalam bahasa tulisan ini
sebenarnya berupa nada yang tertutup yang meninggi sebelum disambut oleh kesenyapan. Bagi
Arbak Othman pula (1985:112) ayat tanya ini biasanya dibawakan oleh pola sebutan
yang diakhiri dengan nada penutup meninggi, atau nada penutup menurun yang
didahului oleh nada meninggi pada perkataan yang mengakhiri ayat tanya itu.
Menurut beliau lagi, ayat tanya mudah
dikenali dengan adanya penggunaan kata tanya seperti mengapa, kenapa, siapa, bagaimana, bila dan lain-lain lagi. Ahmad Mahmood
Musanif (1998:37) menyatakan bahawa dalam Bahasa Melayu, ayat tanya mempunyai
nada yang meninggi sedikit sebelum kesenyapan terakhir dari sudut fonetik. Seterusnya,
menurut Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan (1994:224) pula, ayat tanya ialah
ayat yang digunakan untuk meminta jawapan atau keterangan tentang sesuatu.
1.2.1.3
Ayat Perintah
Nik
Safiah Karim (1993:53) mengatakan bahawa ayat perintah ialah ayat yang mengandungi
sesuatu arahan yang diujarkan bertujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
Menurut Raminah Hj Sabran
dan Rahim Syam (1985), ayat penyata dapat dibahagikan kepada lima jenis iaitu
ayat suruhan, ayat harapan, ayat permintaan, ayat ajakan dan ayat tegahan. Ayat
perintah digunakan untuk memberikan perintah, suruhan, ajakan, menyatakan
keinginan, harapan, atau larangan untuk melakukan sesuatu. Ayat perintah memerlukan
gerak balas daripada pendengar dan gerak balas berupa tindakan.
1.2.1.4
Ayat Seruan
Ayat
seruan ialah ayat yang dicipta untuk menggambarkan perasaan sama ada gembira,
terkejut, sedih, marah, takut, sakit, dan sebagainya. Menurut Arbak
Othman dalam bukunya ‘Nahu Bahasa Melayu’, ayat seruan ialah ayat yang diucapkan
dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan
perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit, dan sebagainya. Liaw Yock
Fang dan Abdullah Hassan (1994:231) menyatakan ayat seruan ialah ayat yang
dibentuk daripada kata seruan untuk menyatakan perasaan hairan, marah, takut,
benci dan suka. Kata seruan yang sering digunakan termasuklah adoi, aduh, amboi, cis, eh, oh, hei, wah
dan sebagainya. Tarigan (1993:68) telah menggunakan istilah kalimat seruan
semasa mengemukakan definisi tentang ayat seruan. Menurut beliau, kalimat
seruan adalah kalimat pendek yang biasa berpola tetap dengan intonasi tertentu,
timbul dari beberapa kejadian yang tidak diduga dalam konteks linguistik atau non-linguistik.
Abdul Hamid Mahmood (1999:163), menyatakan bahawa dalam ayat seruan, tanda seru
diletakkan di hujung ayat, dan bukan selepas kata seru di awal ayat. Kata seru diletakkan
di hujung ayat kerana yang diseru itu ialah perasaan daripada makna seluruh ayat
dan bukannya makna kata seru itu sahaja.
2.0 OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini adalah
seperti yang berikut :
(a) Mengenal pasti jenis-jenis ayat yang
terkandung dalam novel Daerah Zeni.
(b) Menganalisis dan menghuraikan jenis-jenis ayat yang terkandung
dalam novel
Daerah Zeni.
3.0 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini mempunyai beberapa kepentingan. Antaranya ialah :
(a) Untuk menyediakan panduan yang dapat dijadikan
rujukan kepada pengkaji berkaitan jenis- jenis ayat dalam novel Daerah Zeni.
(b) Dijadikan panduan dalam pengajaran khususnya
untuk membetulkan penggunaan ayat pelajar yang mempelajari bahasa Melayu secara
formal.
4.0 SKOP KAJIAN
Fokus kajian ini hanya berfokuskan kepada
jenis-jenis ayat yang terkandung dalam novel
Daerah Zeni karya A. Samad Said.
5.0 BATASAN KAJIAN
Kajian ini hanya berfokuskan jenis-jenis ayat
seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan. Kajian ini
hanya dibuat berdasarkan teks Daerah Zeni karya A. Samad Said. Bab yang dikaji
hanyalah berdasarkan bab 1-10 sahaja.
6.0
KAEDAH KAJIAN
Bahagian ini menjelaskan cara penyelidik mendapatkan data sebagai
bahan kajian, kaedah pemprosesan atau penganalisisan data dan cara persembahan dapatan
kajian.
6.1 Mendapatkan
Data
Pengkaji menjalankan kajian ini dengan
menggunakan kaedah sekunder. Pengkaji melawati perpustakaan SMK Paya Besar
Kuantan untuk memperoleh data tentang kajian sepanjang menjalankan kajian ini.
Pengkaji menjalankan kajian berdasarkan teks Daerah Zeni dan turut melayari
laman sesawang bagi mendapatkan bahan bertulis untuk memperoleh maklumat yang
lebih lengkap dan jelas.
6.2 Mengumpulkan Data
Kajian ini dimulakan dengan kerja pengumpulan
maklumat melalui kaedah kajian perpustakaan. Kajian bermula dengan proses
mencari dan membaca bahan bertulis seperti buku, tulisan ilmiah dan bahan
bertulis yang lain yang terdapat di perpustakaan SMK Paya Besar Kuantan. Tujuan
proses pembacaan ini dilakukan adalah bertujuan untuk memperoleh idea asas dan
maklumat tentang kajian yang bakal dikaji oleh pengkaji tentang jenis-jenis
ayat dalam bahasa Melayu.
Pada masa yang sama, pengkaji turut mengumpulkan
maklumat menggunakan kaedah pustaka secara maya iaitu melalui laman sesawang
seperti Yahoo, Google, Wikipedia dan
laman lain yang berkaitan. Tinjauan terhadap laman sesawang juga dapat membantu
pengkaji mendapatkan maklumat untuk melakukan kajian pustaka dengan lebih
mudah. Hal ini demikian kerana, tinjauan terhadap laman sesawang tidak terhad,
yakni boleh merentasi sempadan dan masa. Maklumat yang diperoleh juga lebih
luas dan terkini skopnya. Oleh itu, tinjauan laman sesawang ini akan dilakukan
untuk dalam bahasa Melayu. Maklumat-maklumat bertulis, khususnya maklumat
tentang jenis-jenis ayat dalam bahasa Melayu yang diperoleh menerusi tinjauan
terhadap bahan bertulis di pusat sumber, tempat lain dan laman sesawang yang
ditemui akan dijadikan sebagai asas kepada penulisan kajian ini.
6.3 Menganalisis Data
Semua maklumat yang dicari dan dikumpulkan melalui kaedah pustaka
seperti yang dibincangkan di atas akan digunakan untuk menulis jenis-jenis ayat
iaitu ayat penyata, ayat perintah, ayat tanya dan ayat seruan.