Pendahuluan
Laras bahasa didefinisikan sebagai ciri khusus dalam penggunaan
bahasa mengikut bidang-bidang tertentu. Laras akan sentiasa berubah-ubah
berdasarkan fungsi dan keadaan. Setiap laras menitikberatkan pilihan kata atau
istilah dan menggunakan struktur ayat yang berlainan mengikut disiplin atau
bidang tertentu. Seseorang penutur itu akan mengubah larasnya bergantung pada
keadaan ataupun situasi sesuatu peristiwa bahasa itu berlangsung. Ketika
seseorang itu bercakap dengan orang lain, tajuk atau perkara yang diperkatakan,
suasana perbualan itu berlangsung sama ada secara formal atau tidak formal dan
penggunaan medium secara lisan ataupun tulisan dititikberatkan. Berdasarkan
perkara-perkara inilah beberapa orang pengkaji telah mengemukakan pandangan
mereka tentang laras.
Nik Safiah Karim
(1982:1) misalnya menyatakan laras seperti yang berikut:
Laras atau register bermaksud gaya atau cara
penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi bahasa yang dipilih
daripada sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Jumlah laras wujud
dalam sesuatu masyarakat kerana kemunculan laras bahasa selari dengan kewujudan
situasi-situasi penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa berubah mengikut konteks,
bidang dan peringkat sosial.
Beliau
mengaitkan laras dengan pemilihan bahasa berdasarkan konteks, bidangyang
diperkatakan dan juga peringkat sosial. Menurut beliau lagi, laras sesuatu
bahasa yang digunakan itu adalah selari dengan kewujudan situasi-situasi
penggunaan bahasa.
Menurut
Asmah Hj.Omar (1984:92) pula, laras bahasa adalah kelainan bahasa yang
digunakan mengikut bidang, seperti bidang ilmu dan bidang sosial. Menurut beliau
lagi, bahasa yang digunakan dalam bidang keilmuan tertentu memperlihatkan
beberapa perbezaan daripada bahasa yang digunakan dalam ilmu yang lain.
Perbezaan yang wujud bukanlah perbezaan sistem bahasa tetapi kesukaran wujud
dalam pemahaman konsep-konsep yang didukung oleh istilah-istilah tertentu atau
khusus yang digunakan dalam ilmu berkenaan. Beliau menekankan bahawa laras yang
berlainan yang digunakan bukannya pada sistem bahasa tetapi hanya pada
kata-kata tertentu yang digunakan dalam laras.
Menurut
Rajiee Hadi (1994), laras bahasa adalah satu wahana yang membuktikan kemampuan
sesuatu bahasa untuk mengungkapkan makna dan maksud dalam pelbagai bidang.
Laras bahasa menentukan makna leksikal sesuatu kata dan pengertian mengkhusus
kepada bidang tertentu, iaitu merangkumi pemilihan diksi, istilah, frasa dan
ayat yang digunakan.
Selain itu,
Za’ba (1962), mengatakan bahawa laras ialah rupa susuk bahasa yang dipakai
apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya,
jalan bahasanya, cara susunannya atau bentuk peribahasanya.
Di kalangan
pengkaji-pengkaji barat, banyak sekali konsep dan definisi yang dikemukakan
oleh mereka tentang laras. Ure dan Ellis (1977) telah mengemukakan pendapat
mereka terhadap bidang laras, iaitu sebagai “corak bahasa yang biasanya
digunakan dalam situasi yang berbeza”. Dalam pada itu, penggunaan laras dalam
sesebuah kelompok manusia telah menunjukkan bahawa manusia menyedari situasi
dan peraturan sosial dalam kelompok mereka sendiri. Melalui laras, pengguna
bahasa dapat menggunakan corak kelakuan sosial untuk mengawal situasi sosial
dan komuniti mereka sendiri.
Halliday (1968) mengatakan laras seperti yang berikut:
Language varies as its
functions varies, it differ is different situation. The name given to the
varietry of language distinguished according to its use is register.
Beliau telah
mengemukakan hujah beliau berkenaan bahasa, iaitu hubungan antara bahasa dan
fungsi bahasa. Beliau juga mengaitkan bahasa itu berfungsi sosial dan melalui
kaedah inilah, kesan terhadap pembetukan tatabahasa secara sistematik dalam
sesebuah bahasa itu wujud.
Seorang lagi
pengkaji barat yang menyentuh tentang laras, ialah Brian Seaton (1982) yang menyatakan
bahawa laras ialah satu variasi bahasa yang wujud daripada situasi yang
berlainan seperti umur, jantina dan tajuk percakapan.
Ciri-ciri
khusus yang dapat membezakan antara sesuatu laras bahasa ialah dengan adanya
penggunaan istilah yang berbeza mengikut bidang masing-masing. Jenis dan
struktur ayat yang mudah atau kompleks, pendek atau panjang, ayat aktif atau
ayat pasif, bergantung kepada jenis bidang ilmu yang tertentu.
Terdapat
banyak laras dalam bahasa Melayu. Antaranya laras bahasa sains, sukan,
undang-undang, ekonomi, perniagaan, iklan, sastera, agama dan lain-lain lagi.
Namun, kajian ini hanya memberi tumpuan kepada bahasa yang digunakan dalam
laras resepi.
Laras resepi
atau laras masakan merupakan salah satu daripada laras moden yang terdapat kini
tetapi ramai tidak menyedari hakikat kehadiran laras ini dalam masyarakat.
Laras resepi dari segi sejarahnya telah wujud sejak zaman lampau tetapi tidak
dikodifikasikan atau ditulis tetapi hanya disampaikan daripada seorang tukang
masak kepada orang lain. Dalam sesebuah keluarga, ibu akan mewariskan cara-cara
memasak sesuatu jenis resepi kepada anak-anak dan anak-anak pula mewarisinya
dan seterusnya mengajarnya pula kepada generasai yang lain. Secara tidak
langsung laras resepi berkembang dan dalam zaman moden ini pelbagai resepi
moden telah mempengaruhi masyarakat untuk menyediakannya demi keperluan
keluarga ataupun untuk tujuan komersial.
Kelahiran
laras resepi pada zaman moden ini bukan sekadar untuk keperluan keluarga
seperti zaman tradisional tetapi terdapat faktor-faktor lain yang
mempengaruhinya, seperti resepi untuk tujuan perniagaan, seperti di hotel-hotel
dan warung-warung serta untuk tujuan-tujuan lain. Ini telah menyebabkan berlaku
pelbagai perubahan pada cara memasak sesuatu jenis resepi, alat-alat yang
digunakan untuk memasak, sukatan ataupun timbangan terhadap bahan-bahan memasak
dan juga bahan-bahan yang digunakan untuk memasak makanan.
Laras resepi
menyampaikan maklumat tentang cara menyediakan sesuatu masakan. Laras ini
menggunakan kosa kata yang mudah difahami dan menggunakan ayat yang ringkas.
Laras ini juga tidak mementingkan ketepatan struktur ayat. Laras resepi banyak
menggunakan ayat perintah dan penggunaan istilah teknikal tidak digunakan
kerana laras ini ditujukan kepada semua orang dan tidak bersifat ilmiah.
Kandungannya terbahagi kepada dua aspek, iaitu bahan dan sukatan yang
diperlukan untuk menyediakan sesuatu makanan dan cara menyediakan sesuatu
makanan. Di samping itu, jenis kata yang sering digunakan dalam laras ini ialah
kata nama dan kata kerja.
Analisis Data Resepi
Dalam bahagian ini akan diberikan contoh data untuk dibuat analisis
tentang laras resepi seperti di bawah ini.
MI KARI NYONYA
Bahan A (Bahan Utama)
3 sudu makan minyak
masak
1 batang serai
(diketuk)
4 biji bawang merah
(dihiris)
3 ulas bawang putih
(dihiris)
2 sudu makan serbuk kari
ayam
2 sudu makan cili
kisar
500 g isi ayam (dipotong kecil)
2 cawan
santan
1 cawan air
1 paket bebola ikan
2 keping tauhu goreng (dipotong kecil)
10 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan (dibelah 4)
Garam secukup rasa
500 g mi kuning (dicelur dan tuskan)
Bahan B (Bahan Hiasan)
1 cawan tauge (dibuang akar)
2 biji telur rebus
Bawang goreng secukupnya
Daun sup dan daun bawang secukupnya (dihiris)
Cara menyediakan dan memasak:
- Panaskan minyak masak. Tumis serai dan hirisan bawang sehingga layu.
- Masukkan serbuk kari ayam dan cili kisar. Kacau rata sehingga pecah minyak.
- Masukkan ayam dan kacau sehingga sebati.
- Masukkan santan dan air. Masak sehingga mendidih.
- Masukkan bebola ikan, tauhu goreng, daun kesum, bunga kantan, dan garam.
- Masukkan mi kuning, bahan hiasan, dan kuah ke dalam mangkuk. Hidangkan.
Berdasarkan teks ini akan dibincangkan analisis data berdasarkan teori
Ure dan Ellis dari aspek kosa kata atau leksikal. Dalam aspek kosa kata,
perkara utama yang diberikan tumpuan ialah penggunaan kata dalam sesuatu laras,
sama ada laras yang diperkatakan itu banyak menggunakan istilah khusus atau
istilah umum ataupun tidak ada penggunaan istilah langsung. Istilah umum adalah
suatu kata yang sudah menjadi unsur bahasa umum manakala istilah khusus adalah
suatu kata yang penggunaan serta maknanya terbatas hanya untuk bidang tertentu.
Sekiranya sesuatu laras itu banyak menggunakan istilah, akan wujud
istilah-istilah yang berlainan berdasarkan bidang yang diperkatakan oleh laras
tersebut. Di samping itu, terdapat juga sesetengah laras yang menggunakan
kata-kata pinjaman asing atau sebagainya. Pendek kata, dalam aspek kosa kata
segala aspek yang berkaitan dengan kata akan dibincangkan untuk membuktikan
bahawa sesuatu laras itu menggunakan kata-kata tertentu yang berbeza daripada
laras yang lain.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013), kosa kata ialah keseluruhan
kata dalam sesuatu bahasa atau perbendaharaan kata. Menurut Kridalaksana (1982)
kosa kata atau leksikon, adalah komponen bahasa yang memuat semua informasi
tentang makna dan pemakaian kata dalam bahasa. Beliau juga berkata bahawa kosa
kata adalah kekayaan kata yang dimiliki seorang pembicara, penulis suatu bahasa
dan daftar kata yang disusun seperti kamus, tetapi dengan penjelasan yang
singkat dan praktis. Dapat disimpulkan bahawa kosa kata adalah semua kata yang
terdapat dalam bahasa. Selain itu, kosa kata merupakan semua kata-kata yang
dimiliki oleh seseorang yang memuat semua informasi tentang makna dan pemakaian
kata dalam berbahasa.
Terdapat beberapa kata khusus yang digunakan dalam laras ini sebagai
penanda laras resepi. Antara kata tersebut ialah:
Bil.
|
Kata
|
1.
|
sudu makan
|
2.
|
diketuk
|
3.
|
dihiris
|
4.
|
dicelur
|
5.
|
tus
|
6.
|
tumis
|
7.
|
kacau rata
|
8.
|
pecah minyak
|
9.
|
sebati
|
10.
|
mendidih
|
Jadual 1: Kata-kata
dalam laras resepi Mi Kari Nyonya
Sudu makan dalam laras resepi Mi Kari Nyonya merupakan sukatan yang digunakan
untuk mengukur bahan dalam masakan. Sesetengah orang memanggil camca bagi
menggantikan sudu makan. Orang ramai lebih menggemari ukuran sudu dan cawan berbanding ukuran
metric (gram/ml) kerana lebih mudah untuk digunakan ketika memasak. Kata diketuk menunjukkan
perbuatan mengetuk sesuatu. Dalam laras masakan, sesuatu yang diketuk merupakan benda
atau bahan yang digunakan untuk tujuan masakan sahaja sebagai contoh serai.
Sesetengah orang tidak menggunakan kata ketuk serai tetapi titik serai yang menunjukkan perbuatan yang sama, iaitu mengetuk sedikit serai dan memastikan
serai tidak hancur. Dihiris merupakan perbuatan memotong nipis sesuatu bahan. Dicelur membawa maksud
mencelupkan sesuatu ke dalam air panas supaya layu. Berdasarkan teks, mi kuning
dicelur, iaitu dicelup ke dalam air panas untuk tempoh masa yang sekejap
sahaja, iaitu sehingga mi kuning menjadi lembut. Mi kuning tidak boleh direndam
lama kerana akan menjadi kembang dan tidak enak untuk dimakan. Oleh sebab itu,
kata celur diwujudkan bagi
memudahkan pembaca resepi memahami perbuatan yang harus dilakukan untuk memasak
sesuatu bahan yang rumit seperti mi kuning, kuey teow dan kangkung. Tus merupakan perbuatan
membiarkan air yang ada pada sesuatu yang dibasuh menitik keluar. Perbuatan ini
dilakukan untuk mengeringkan bahan yang basah yang direndam atau dicelur
sebelum itu. Perbuatan tumis pula merupakan perbuatan memasak bahan-bahan makanan yang kecil di
atas api yang sederhana besar hingga api besar sehingga bertukar warna
keperang-perangan di bahagian luarnya dan masak keseluruhannya. Bahan-bahan
kecil seperti rempah-ratus, bawang atau sayur-sayuran yang dipotong kecil atau
halus, daging, udang, sotong dan sebagainya yang dah dipotong ke saiz yang
kecil. Kacau rata adalah mengaul sama
banyak sesuatu bahan ketika memasak. Perbuatan kacau rata atau pukul rata dilakukan bagi memastikan semua bahan yang dikacau
dalam kuali masak secukupnya. Pecah minyak pula ketika menumis, bahan perlu dimasak sehingga keluar minyak ataupun
masak sehingga minyak terpercik. Masakan perlu dimasak sehingga pecah minyak supaya tidak bau
tengik atau mudah basi disamping mengeluarkan aroma yang wangi dan menyelerakan
disebabkan masak dengan cara yang betul. Sebati merupakan perbuatan mengaul sesuatu aduan atau bahan sehingga mampat
dan padat. Sebati dalam konteks data
yang digunakan membawa maksud mengaul serbuk kari ayam dan cili kisar dengan
ayam sehingga lekat warna, bau dan rasa. Mendidih membawa maksud meruap kerana terlalu panas atau menggelegak.
Selain kata-kata
tersebut, kebanyakan daripada kata kerja yang digunakan dalam laras ini telah
mengalami peleburan imbuhan, misalnya:
menumis = tumis
mengacau = kacau
memasak = masak
Kata-kata
ini kebanyakannya merupakan kata kerja pasif yang digugurkan imbuhannya apabila
menjadi ayat perintah. Hal ini kerana,
terdapat pereka resepi menyelitkan beberapa petua dapur yang menjadi
pengetahuan tambahan kepada pembaca. Ekoran daripada penjelasan mengenai laras
ini, dari sudut sintaksis, laras ini banyak menggunakan ayat perintah,
khususnya ayat suruhan.
Rujukan
Asmah Haji Omar, 1984. Bahasa Iklan Perniagaan: Satu Kajian
Retorik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Chef Hanieliza 1. 2017. MyResipi. Diakses pada 13 Oktober 2017,
daripada http://myresipi.com/recipes/mi-kari-nyonya
Kamus Dewan Edisi Keempat.
2013. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Masnurul. 2014. Laras Bahasa. Diakses pada 20 Oktober 2017,
daripada http://studentskptmab101.blogspot.my/2014/08/laras-bahasa.html
Nik Safiah Karim. 1982. “Laras Bahasa Melayu: Beberapa Pandangan,”
dlm. Jurnal Dewan Bahasa.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sakiminie. 2015. Bahasa Melayu
STPM P(3) Bab 4 Laras Bahasa. Diakses pada 12 Oktober 2017, daripada https://www.slideshare.net/sakiminie/bahasa-melayu-bab-4-laras- bahasa-stpm
Ure, J. Dan Ellis, J. 1977, “Register in Descriptive and
Linguistics Sociology,” dlm. O. Uribe – Villages (ed.) Issues in
Sociolinguistics. Mouton.